Kandungan Tatabahasa ( Sintaksis. ) KSSR BM Thn 4.



1.2 Sintaksis

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat. Hal ini bermakna, bidang sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan atau kelompok perkataan untuk membentuk ayat. Aspek sintaksis yang diberikan tumpuan adalah seperti yang berikut:

a. Unsur utama yang terdiri daripada kata, frasa, klausa dan aspek pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat.

b. Jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

c. Ragam ayat iaitu ayat aktif dan ayat pasif.

d. Susunan ayat, iaitu susunan biasa dan songsang.

e. Binaan ayat:

i. ayat dasar
ii. ayat tunggal
iii. ayat terbitan atau ayat majmuk
f. Proses ayat terbitan:
i. proses penggantian
ii. proses pengguguran
iii. proses penyusunan semula
iv. proses peluasan

Sistem Ejaan

Tanda baca penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Misalnya, koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan. Penggunaan tanda baca yang betul dapat mewakili intonasi dalam bacaan dan penulisan.
Perkara yang diberikan penekanan ialah:

i. Pola keselarasan huruf vokal
ii. Ejaan kata pinjaman
iii. Ejaan kata dasar dan kata terbitan






Sebutan dan Intonasi

Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat.

a. Sebutan

Sebutan diajarkan supaya murid dapat menyebut sesuatu kata dengan betul. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan di sekolah hendaklah menggunakan sebutan bahasa Melayu baku.

b. Intonasi

Intonasi ayat bahasa Melayu yang betul hendaklah diajarkan mengikut pola yang berikut:
i. ayat penyata
ii. ayat tanya
iii. ayat perintah
iv. ayat seruan
v. ayat terbalik atau songsang
vi. ayat aktif
vii. ayat pasif

Kosa kata

Kosa kata terdiri daripada kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu ditingkatkan dan dikembangkan agar murid dapat mengungkap maklumat dan buah fikiran selaras dengan penambahan ilmu dalam mata-mata pelajaran yang dipelajari pada peringkat sekolah rendah.

Peribahasa

Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata-kata hikmat perlu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

contoh karangan laporan perkhemahan

Karangan Fakta- Kebaikan Mengunakan Perpustakaan

TEMA-TEMA DALAM KSSR BM THN 4