TEMA-TEMA DALAM KSSR BM THN 4



TEMA-TEMA

BAHASA MALAYSIA KSSR

TAHUN EMPAT



1. Kekeluargaan

Tema kekeluargaan merangkumi hubungan sesuatu keluarga yang melibatkan keluarga asas dan keluarga kembangan. Tema ini diajarkan kepada murid sekolah rendah agar menghargai dan menghormati setiap ahli keluarga.



2. Kemasyarakatan

Tema ini merujuk tanggungjawab individu dan kumpulan dalam kalangan pelbagai bangsa untuk mewujudkan keharmonian dan kepentingan hidup bersama. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, hormat-menghormati, bekerjasama dan bertanggungjawab.



3. Kesihatan dan Kebersihan

Tema kesihatan dan kebersihan merujuk kesempurnaan dari segi kesihatan fizikal, mental dan sosial. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid sekolah rendah agar mendapat pendedahan awal berkaitan penjagaan kebersihan dan kesihatan, dan amalan gaya hidup sihat.



4. Keselamatan

Tema keselamatan merujuk keupayaan murid melindungi diri daripada bahaya ketika berada dalam pelbagai persekitaran. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid supaya dapat memberi kesedaran agar mengutamakan keselamatan.



5. Perpaduan

Tema perpaduan merujuk kepentingan hubungan erat yang terbentuk hasil daripada toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid dalam usaha memupuk semangat perpaduan.



6. Kebudayaan, Kesenian dan Estetika

Tema kebudayaan, kesenian dan estetika merangkumi elemen -elemen  budaya yang terdapat dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang meliputi adat dan budaya. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar kehalusan seni budaya ini dapat dihayati oleh murid sebagai asas pembentukan jati diri warga Malaysia.



7. Jati diri, Patriotisme dan Kewarganegaraan

Tema jati diri, patriotisme dan kewarganegaraan merujuk kepada keupayaan murid menzahirkan keperibadian insan yang seimbang dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani serta mempunyai semangat juang dan sanggup berkorban demi negara. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid untuk melahirkan masyarakat madani, yang mempunyai semangat kekitaan dan setia kepada negara.



8. Sains, Teknologi dan Inovasi

Tema sains, teknologi dan inovasi merujuk ilmu pengetahuan yang teratur atau sistematik yang boleh diuji, dibuktikan kebenarannya dan dapat menghasilkan sesuatu yang baharu. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid agar dapat melahirkan insan yang berupaya menjana idea untuk menghasilkan sesuatu yang berinovasi.



9. Alam Sekitar dan Teknologi Hijau

Tema alam sekitar dan teknologi hijau merujuk keupayaan murid menjaga dan mengurus alam sekitar untuk kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan serta tumbuhan bagi kelangsungan kehidupan generasi akan datang. Tema ini sesuai diajarkan agar murid cinta dan prihatin serta bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar dan teknologi hijau.



10. Pertanian dan Penternakan

Tema pertanian dan penternakan memberi murid pendedahan perihal asas-asas pertanian dan penternakan secara tradisional dan moden. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang bioteknologi pertanian dan penternakan dalam kehidupan.



11. Ekonomi, Keusahawanan dan Pengurusan Kewangan

Tema ekonomi memberi murid pendedahan perihal bidang peniagaan dan keusahawanan dalam menjana pendapatan dan pengurusan perdagangan. Manakala pengurusan kewangan pula menekankan tentang tanggunjawab dalam menguruskan kewangan dengan bijak. Tema ini sesuai diajarkan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan bidang ekonomi, membudayakan sikap keusahawanan dan celik kewangan dalam kehidupan.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

contoh karangan laporan perkhemahan

Karangan Fakta- Kebaikan Mengunakan Perpustakaan